Monday, January 3, 2011

Takmo sombong cam arnab

Tahun 2011 ni kalau ikut kalendar cina adalah tahun arnab. Ada apa dengan arnab? Apakah sifat-sifat mereka yang lahir pada tahun arnab? Mungkin ramai antara kita apabila terdengar tentang arnab akan terbayang betapa comelnya si arnab dan kepantasannya bila berlari. Jadi mereka yang lahir pada tahun arnab ni mungkin ada ciri-ciri kecomelan arnab dan seorang yang pantas berlari.. hehe. Mungkin ramai yang hobinya memelihara arnab sebab arnab selalunya cute dan berbulu gebu.. hehe. Kalau kita masih ingat, waktu kita kecil dulu, kita pernah diceritakan tentang kisah seekor arnab dan kura-kura. Kisah ni kisah rakyat yang ringkas tetapi sebenarnya kita boleh mendapat iktibar yang besar daripadanya. Apa yang penting, di samping membaca apa yang tersurat, kita kenalah juga cari hikmah yang tersirat.

Berbalik kepada perihal si arnab tadi, kisah bermula apabila si arnab dengan sombongnya menghina si kura-kura dan mengajak si kura-kura berlumba. Kalau di atas kertas memang pasti si arnab yang akan menang sebab si arnab lebih tangkas dan kuat tenaganya. Si kura-kura pula pasti akan kalah kerana berjalan perlahan. Namun, di akhir cerita lain pula jadinya. Si kura-kura yang menang disebabkan si arnab yang terlampau yakin tertidur sehingga si kura-kura dapat mendahuluinya. Walaupun si kura-kura merangkak perlahan, dia tak berputus asa dan terus berusaha ke garisan penamat sedangkan si arnab tewas kerana sifat bongkaknya telah memakan diri.

Apa yang membezakan antara si arnab dan kura-kura adalah sikap mereka. Untuk berjaya, tak semestinya kita pandai atau kuat, apa yang lebih penting adalah sikap yang positif. Kalau kita ada sikap negatif seperti si arnab, tentulah kita akan gagal sekalipun kita punya kepandaian dan kekuatan. Pupuklah sikap yang positif seperti kura-kura. Meskipun kita punya banyak kelemahan dan kekurangan, apa yang utama adalah kita hendaklah selalu istiqamah serta sabar dalam memajukan diri dan jangan sekali-kali berputus asa. Janganlah kita jadi seperti arnab yang sombong dan suka menghina orang lain. Jangan kita tanamkan sifat takbur dan ego dalam diri kita.

Untuk itu bentuklah sikap yang positif dalam diri. Apabila ada sikap yang positif maka sistem nilai dalam diri seseorang pasti bertambah dan mantap. Apabila sistem nilai menjadi kuat, kita pasti akan lebih terdorong untuk melakukan sesuatu yang baik dan meninggalkan yang buruk.

'Jangan kita memandang keburukan orang lain yang menggunung tinggi tetapi lihatlah kebaikannya biarpun sekelumit.. Lihat dan fikir-fikirkan lah keburukan kita biarpun hanya secebis daripada kita menyanjung tinggi kebaikan kita yang mungkin tak seberapa...'

0 komen:

Post a Comment